Ingkar Arahan Tak Boleh Buat ‘Jamuan’ Lepas Solat, Jemaah Surau Kena Denda RM1k
Mengikut surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Negeri Sembilan (JHEAINS) bertarikh 20 Januari, jamuan selepas aktiviti pengajian ilmu adalah tidak dibenarkan memandangkan hampir semua negeri sedang menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Namun begitu, masih ada juga pihak surau dan segelintir individu yang melanggar arahan yang telah dikeluarkan itu. Di Facebook, viral beberapa foto di mana sekumpulan individu dipercayai sedang menikmati jamuan selepas selesai solat Maghrib.
Ingkar arahan pihak berkuasa
Moga kita sama-sama mengambil iktibar. Saman akibat tidak mematuhi SOP di Surau Matahari Height Seremban, Maghrib malam semalam (25.01.2021). Mana-mana orang yang mengingkari, melanggar, membantah atau mencela kewibawaan dan titah perintah daripada Yang di-Pertuan Besar sebagai Ketua Agama Islam, arahan Majlis atau fatwa yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi satu ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. Harap kita sama-sama bertanggungjawab menjaga SOP ya.
Menerusi Facebook Masjid Kariah Taman Bandar Senawang, beberapa orang jemaah Surau Matahari Height di Seremban, telah dikenakan denda selepas dipercayai melanggar SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa. Mereka kelihatan melepak sambil menikmati air dan roti secara beramai-ramai. Oleh sebab itu, kesemua mereka didenda sebanyak RM1000.
Saman tetap saman
Di ruangan komen, rata-rata netizen berharap semua individu mematuhi SOP tidak kira di mana jua mereka berada. Mereka juga berharap golongan pak cik- pak cik ini mengambil perkara tersebut sebagai pengajaran.
Sumber: Masjid Kariah Taman Bandar Senawang